Tuesday 14 August 2012

Jejak Inovasi Cungkil Bakat Luar Biasa



Saksofon buluh? Gasing plastik? Parang elektrik? Miniatur rumah kampung?

Mungkin pelik kedengaran bagi pembaca tetapi ini adalah hasil inovasi oleh mereka yang tidak langsung mempunyai latar belakang dalam bidang reka cipta.

Tentu ramai tertanya-tanya, bolehkah buluh menghasilkan bunyi persis saksofon besi yang ada di pasaran?

Jejak Inovasi anjuran Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) ke Sabah pada September 2011 lalu menemui pencipta saksofon buluh, Philipus Jani.

Philipus yang gemar bermain alat muzik dan meniup saksofon sering meminjam daripada rakannya sehinggalah rakannya berpindah.

Justeru minatnya yang mendalam terhadap saksofon mendorong beliau mula menciptanya pada 1993 walaupun tanpa sebarang pendidikan formal mengenai alat muzik.

Persekitarannya yang banyak pokok buluh menyebabkan beliau menggunakan bahan yang mudah ditemui.

Membuat saksofon daripada buluh bukan satu jalan mudah kerana hanya pada 2005 barulah Philipus berjaya menghasilkan saksofon yang sempurna dan berbunyi sama seperti yang asli.

Produk ciptaannya bukan saja berjaya menarik pengkaji muzik tetapi juga profesor universiti dan peminat muzik seluruh negara dan dunia.

Malah saksofon buluh juga telah membawa Philipus sehingga ke Jepun.

Kini beliau telah menghasilkan 12 alat muzik daripada buluh termasuk gitar elektrik.

Lebih menarik apabila Philipus berjaya 'menukar' sebatang buluh yang berharga RM2 pada harga kilang kepada alat muzik dengan harga RM500 hingga RM4,000.

Kini saksofon buluh telah difail untuk dipatenkan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...