Monday, 4 June 2012

Robot Pupuk Minat Belajar




PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak November tahun lalu bahawa tahun ini merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi (SGI) merupakan khabar gembira kepada dunia sains tempatan.

Sebagai contoh, SIRIM Berhad mengambil peluang tersebut untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada generasi muda dalam konteks penghayatan dan pemupukan budaya sains, teknologi serta matematik dengan menganjurkan Robot Clinic (Roboclinic).

SGI yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri MuhyiddinYassin pada 9 April lalu memfokus kepada menjana modal insan yang cemerlang dalam bidang kreativiti dan inovasi. Bagi merealisasikannya, konsep Roboclinic diperkenalkan oleh Sirim Berhad dengan kerjasama Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ia merupakan satu platform untuk mempromosikan minat rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan termasuk industri dan masyarakat dalam bidang sains teknologi dan matematik untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

SIRIM di bawah Pusat Automasi Termaju dan RFID (Identifikasi Frekuensi Radio) menyahut cabaran tersebut dengan memperkenalkan Robot Kit yang boleh dimanfaatkan sebagai alat pembelajaran dan pengajaran hands on dalam bilik darjah.

Menurut Ketua Seksyen Sistem Pintar, pusat berkenaan, Hasmafatiha Harun, sejajar dengan SGI 2012, SIRIM Berhad mencadangkan penganjuran Roboclinic.

Ia diadakan menerusi program pameran dan pertandingan dalam usaha yang berterusan akan memupuk kreativiti dan inovasi, membangunkan budaya sains dan teknologi menerusi pembangunan integrasi ICT, dan menghasilkan sistem pendidikan bertaraf dunia.

‘‘Robotik merupakan kaedah popular dan berkesan sebagai alat pengajaran memperkenalkan pelajar dengan sains dan matematik serta kurikulum kejuruteraan dan teknologi, '' kata beliau ketika ditemui di Pusat berkenaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, bagi menyempurnakan matlamat tersebut pihaknya menghasilkan SIRIM, RoboKit dengan penyelidikan dimulakan pada Ogos 2010 dan siap mengikut jenis model.

Katanya, model pertama siap pada Januari 2011, model kedua pula pada Mac 2011 manakala model ketiga pada Mei 2011.

Idea tersebut bermula setelah pihaknya menjalankan program ‘Latihan dan peningkatan kemahiran dalam subjek Sistem Reka bentuk Elektronik, kepada para graduan lepasan ijazah dan siswazah mengganggur (Training and Reskilling Program on Electronics System Design) pada tahun 2009 dan berjaya membangunkan Embedded System Training Kit.

‘‘Bermula di situ, kami telah mendapat idea bagaimana hendak menarik minat pelajar-pelajar kepada elektronik dan sistem kawalan melalui pembelajaran yang menyeronokkan," ujar Hasmafatiha.

Selain beliau, kumpulan penyelidik tersebut Al Malek Faisal Mohd. Amin sebagai ketua projek, Mohd. Suhaimi Abdul Wahab, Mohd Azam Shah Abd. Hamid, Hasnul Hisham Ahmad Zambri dan Bolhi Brodi.

Pembangunan sistem robotik tersebut melibatkan kos penyelidikan dan pembangunan sebanyak RM300,000.

Hasmafatiha berkata, usaha mereka seiring dengan matlamat kerajaan meningkatkan taraf pendidikan dengan mengintegrasikan dunia pendidikan dengan ICT, sains, teknologi dan inovasi.

Mekanismenya adalah dengan cara menjalankan sesi Roboclinic bersama-sama dengan agensi MOSTI, Kementerian Pelajaran yang bertemakan Ke arah Pembudayaan Inovasi Melalui Aplikasi Robotik.

Kumpulan tersebut menamakan projek berkenaan sebagai SIRIM RoboKit atau An Innovative Platform for Educational Learning and Teaching in Robotic Application.

Ia berguna bagi membolehkan pelajar dari seawal peringkat sekolah rendah mempelajari tentang sistem embedded (terbina dalam) dan juga pengaturcaraan perisian (software programming).

Selain itu, ia juga melibatkan pelbagai aplikasi seperti robotik, automasi rumah, sistem kawalan akses, sistem penggera, pagar automatik dan juga sensor, dalam masa yang singkat.
Menurut Hasmafatiha, keberkesanan sesi tersebut dilihat telah memberi impak yang tinggi di kalangan peserta program dan sekolah-sekolah yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Produk berkenaan telah memenangi pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia 2012 (MTE2012) baru-baru ini.

SIRIM telah pun bermula melakarkan aktiviti pengkomersialan dalam bidang robotik yang bertujuan untuk menjadikannya sebahagian dari silibus pendidikan. Selain itu, ia meluaskan potensi robot dalam bidang service robot seperti alat kawalan pintu, pembantu rumah dan sebagainya.

Sehingga kini, SIRIM Robokit telah diperkenalkan kepada 120 orang murid daripada dua puluh lapan buah sekolah menengah di beberapa negeri.

Ini termasuk Terengganu (lima), Sabah (15), Selangor (lima) dan Sarawak (tiga), dan enam buah sekolah rendah iaitu di Melaka (tiga) dan Pahang (tiga) melalui Program SIRIM RoboClinic .

Bagi pelajar peringkat yang lebih tinggi , ia dapat digunakan sebagai alat bantuan mengajar dalam bidang kawalan dan robotik.

Pelajar didedahkan kepada sistem terbina dalam dan pengaturcaraan perisian serta membina pelbagai aplikasi seperti robotik, automasi rumah, sistem kawalan akses, sistem penggera, pagar automatik, sensor dan sebagainya.

Objektif

Program RoboClinic juga dianjurkan sepanjang Karnival Sains dan Inovasi sempena dengan SGI2012 di lokasi yang telah ditetapkan. Ia sebagai usaha memupuk inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar dan untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran.

Ia melibatkan 384 pelajar dan guru daripada 96 sekolah menengah dan 60 sekolah rendah di seluruh negara

Dalam pada itu , SIRIM juga merancang untuk menganjurkan tiga hari latihan dan pembangunan serta pengaturcaraan robot. Selainitu, turut dicadangkan ialah penganjuran pertandingan peringkat negeri untuk sekolah menengah dengan menjemput wakil kumpulan dari setiap zon.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...