JOHOR BAHRU 27 Jun - Bagi sesetengah pelajar, subjek sains agak sukar dikuasai.
Namun, bagi yang meminatinya, subjek tersebut mampu memberi keseronokan kerana pelbagai uji kaji mampu dilakukan untuk menghasilkan penemuan dan produk baru.
Antara yang meminati subjek sains ialah Norsyadiyah Saffari, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, di sini.
Justeru, kesempatan untuk menghadiri Minggu Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2012 serta Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini baru-baru ini amat bermakna baginya.
Menurut pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, penganjuran program tersebut mampu meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya pelajar mengenai kepentingan sains, teknologi dan inovasi dalam kehidupan seharian.
"Di sini saya dapat melihat sendiri bagaimana cara roket air dibina dan apakah fungsinya. Di sekolah, ia mungkin akan diajar secara teori sahaja.
"Saya juga berkesempatan menyertai kuiz crime scene investigation, treasure hunt geocaching dan aktiviti lain yang amat menyeronokkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Minggu Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2012 serta Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan yang berlangsung dari 19 hingga 25 Jun lalu berjaya mencatatkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung, termasuk pelajar.
Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut menyediakan pelbagai program.
Antara ialah pameran sains dan inovasi, pertandingan reka cipta, seminar falak, pertandingan jejak sains dan robotik peringkat negeri.
Bagi memeriahkan lagi program berkenaan, pihak penganjur turut menyediakan segmen cabutan nombor bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, antaranya telefon bimbit jenama Samsung, komputer riba, kamera digital dan barangan elektrik.
Malah pameran kereta lumba Formula 1 Petronas serta kehadiran angkasawan kedua negara, Dr. Faiz Khaleed turut menjadi daya tarikan sempena program tersebut.
Menurut Faiz, ini merupakan kemunculan kali keduanya memandangkan beliau pernah dijemput pada program sama dua tahun lalu menerusi Yayasan Angkasawan Malaysia (YAM).
"Saya berkesempatan untuk berkongsi pengalaman selain memberi ceramah motivasi kepada pengunjung, khususnya golongan pelajar.
"Bagi saya program ini sangat bermanfaat dan harus diteruskan kerana ia dapat menyemai minat pelajar terhadap bidang sains," katanya.
Menurutnya, gerai pameran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan YAM yang memaparkan video angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor di stesen angkasa antarabangsa (ISS) turut berjaya mencuri perhatian pengunjung.
Sementara itu, Pengarah Unit Sains, Teknologi dan ICT negeri, Tunku Zahrah Tunku Osman berkata, program berkenaan berjaya mencapai objektif penganjuran dengan penglibatan pelbagai pihak dan penyertaan daripada pengunjung yang hadir.
"Bagi melahirkan generasi yang celik ilmu sains, maka program seumpama itu bukan sahaja perlu diteruskan malah diperluaskan lagi pada masa hadapan," katanya.
No comments:
Post a Comment