JOHOR BAHRU 25 Jun - Minggu Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2012 serta Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, berjaya mencatatkan kehadiran 35,000 pengunjung sepanjang enam hari berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, jumlah pengunjung yang hadir termasuk dari Singapura memperlihatkan sambutan yang sangat baik, terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Beliau berkata, jumlah kehadiran itu juga memperlihatkan orang ramai di negeri ini mempunyai kesedaran tinggi untuk membudayakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.
"Karnival yang dianjurkan ini juga bertujuan memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai cabaran dalam era sains dan teknologi serta kepentingan menguasai bidang tersebut," katanya ketika berucap pada majlis penutup program itu di Persada, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Unit Sains, Teknologi dan ICT negeri, Tunku Zahrah Tunku Osman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk.
Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bermula Rabu lalu hingga hari ini, menyediakan pelbagai program antaranya pameran, pertandingan reka cipta, pemeriksaan kesihatan, seminar falak, pertandingan jejak sains dan robotik peringkat negeri.
Asojan berkata, kerajaan negeri akan meneruskan program seperti itu bagi membantu meningkatkan kefahaman serta penghayatan mengenai sains dan teknologi terutamanya di kalangan generasi muda.
"Penguasaan dalam bidang ini sangat penting kerana kebanyakan bidang kerjaya hari ini memerlukan kita menguasai bidang-bidang seperti ini," katanya.
No comments:
Post a Comment