MINGGU Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2012 serta Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada yang berakhir semalam merupakan salah satu program amat berguna, khususnya kepada golongan remaja bagi melihat perkembangan teknologi terkini selain menambah ilmu pengetahuan.
Selain pameran, pelbagai pertandingan turut dianjurkan seperti reka cipta, jejak sains dan robotik yang mampu menjana kreativiti para peserta dan menjadikan pemikiran mereka lebih kritis.
Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu merupakan antara inisiatif yang perlu diberi perhatian kerana pada zaman sekarang ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi amat penting, khususnya bagi remaja menjana minda kreatif dan inovatif.
Pendedahan program berteraskan sains dan teknologi kepada golongan remaja khususnya pelajar adalah sesuatu yang wajar diberi penekanan kerana pada waktu ini minda mereka mudah untuk menerima perkara baru dan secara tidak langsung mewujudkan minat terhadap ilmu berkenaan.
Mungkin penganjuran program itu tidak sehebat seperti di negara maju, tetapi sedikit sebanyak kita sedang menuju ke arah itu.
Bermula dengan karnival seperti ini dan kemudian diperkembangkan pada masa akan datang selaras dengan kemajuan negara, saya yakin Malaysia mampu melahirkan ramai saintis, teknokrat dan penyelidik bagi menghasilkan pelbagai produk berguna kepada masyarakat.
Saya berharap syarikat korporat boleh memainkan peranan dalam menganjurkan program seperti ini secara bersama bagi membolehkan lebih banyak acara menarik diadakan.
Dengan sokongan syarikat swasta yang mempunyai kemampuan kewangan, maka program seperti ini mampu dianjurkan dalam skala lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung.
No comments:
Post a Comment