Monday 22 October 2012

Kerajaan Permudah Urusan Pinjaman Hasilkan Produk Kreatif Dan Inovasi

SEREMBAN - Kerajaan sedang berusaha menyelaras dan mempermudah permohonan pinjaman atau dana dari kementerian atau agensi tertentu untuk mereka yang merancang menjalankan penyelidikan atau menghasilkan produk kreatif dan inovasi. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, usaha tersebut termasuk untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti yang akan menguruskan semua pinjaman dan dana tersebut yang pada masa ini kebanyakannya diuruskan oleh pelbagai kementerian dan pihak bank.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Karnival Sains dan Inovasi Zon Tengah 2012 di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini hari ini, beliau berkata pembabitan pelbagai kementerian dan agensi selain pihak bank dilihat menyulitkan urusan permohonan pinjaman tersebut. 

Ini sekaligus membantut usaha pemohon untuk menjalankan kajian atau menghasilkan produk, katanya. 

Maximus berkata, pembabitan pihak bank juga menyebabkan banyak syarikat yang mahu membuat pinjaman sukar mendapat pinjaman. 

Ini disebabkan syarikat tersebut mungkin tidak mempunyai rujukan kejayaan lampau ciptaan berkenaan dan pihak bank menganggap ia sukar dipasarkan. 

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan program itu. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Madinah Mohamad. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...