Friday 28 September 2012

Yayasan Inovasi Malaysia Iktiraf Inovator Akar Umbi Sarawak

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menerusi programnya, Jejak Inovasi Sarawak baru-baru ini telah mengenalpasti dan mengiktiraf 5 inovator akar umbi terpilih di kalangan masyarakat setempat.


Inovasi tersebut adalah disaring daripada 27 inovasi yang dijejak disekitar daerahKuching, Samarahan, Serian,Santubong dan Petrajaya oleh para Penjejak Inovasi yang terdiri daripada pakar-pakar, sukarelawan serta pegawai daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya.

Produk yang terpilih ialah Inovasi Tabung Gas Penghawa Dingin Pelbagai Guna oleh En. Bakar B. Bojeng; Hiasan Pelamin Moden oleh En. Zakaria Bin Jamain, Ikan Terubuk Pindang Tebu oleh Ismail B. Bakar, Serbuk Belacan Power oleh Pn. Anita Binti Idris, dan Ketupat Panjang oleh Pn. Zaliha Bte. Bolhassan.

Inovasi Tabung Gas Penghawa Dingin Pelbagai Guna


Oleh kerana tabung gas penyaman udara yang telah digunakan terlalu banyak terbuang di kawasan rumah Haji Bakar, beliau berfikir bagaimana untuk memanfaatkan bahan terbuang tersebut. Akhirnya Haji Bakar telah menggunakan tabung-tabung tersebut sebagai peti surat dan tabung amal. Peti surat dan tabung amal ini adalah untuk kegunaan surau-surau dan masjid di sekitar kawasan kediamannya. Tabung amal ini dilengkapi kaki yang juga menggunakan bahan terbuang iaitu kaki kipas. Terdapat elemen keselamatan pada tabung amal ini kerana lubang memasukan wang akan tertutup selepas wang dimasukkan ke dalam tabung bagi menggelakan kes kecurian berlaku.

Hiasan Pelamin Moden

Encik Zakaria telah memulakan kerja-kerja mengukir sejak 4 tahun yang lalu. Pada mulanya aktiviti ini hanyalah sekadar mengisi masa lapang sehingga lah seorang sahabat beliau mencadangkan agar aktiviti ini digunakan bagi menjana pendapatan. Justeru itu, Encik Zakaria telah mendapat idea untuk membuat ukiran polisterin sebagai perhiasan pelamin perkahwinan. Antara kelebihan ukiran polisterin ini ialah menjimatkan kos,mudah diukur dan ringan untuk dibawa. Menurut Encik Zakaria, beliau akan membuat ukiran polisterin setelah mendapat tempahan daripada pelanggan. Reka bentuk dan kreativiti ukiran polisterin merancakkan lagi tempahan pelanggan. Bayaran yang dikenakan kepada setiap ukiran polisterin adalah berdasarkan saiz dan keunikan bentuk ukiran.

Ikan Terubuk Pindang Tebu

Ikan Terubuk Pindang merupakan makanan tradisional masyarakat di Sarawak yang diinovasikan. Antara ramuan Ikan Terubuk Pindang ini ialah Ikan Terubuk, Cili kering, Asam Jawa, Serbuk Perasa, dan Bawang Putih. Proses untuk menyediakan makanan tradisional ini memakan masa selama 8 jam. En. Ismail telah membuat penambahbaikkan kepada produk makanan ini iaitu mencampurkan tebu ke dalam ramuan. Menurut En. Ismail,penambahan tebu dalam ramuan dapat melembutkan tulang ikan. Hasilnya, Ikan Terubuk Pindang ini boleh terus dimakan bersama-sama tulangnya berbanding kaedah terdahulu.

Serbuk Belacan Power



Lambakan stok belacan buku yang terdapat dalam simpanan IKS yang diusahakan oleh Pn. Anita telah membuka idea untuk menghasilkan serbuk belacan. Penjualan belacan yang lambat juga adalah salah 1 faktor terhasilnya inovasi ini. Pn. Anita telah mengubah rupa bentuk belacan daripada ketulan kepada serbuk. Transformasi ini menyebabkan identiti belacan berubah sehingga ia kelihatan seolah-olah serbuk perasa. Menurut Pn. Anita, serbuk belacan ini lebih mudah digunakan ketika memasak kerana pengguna tidak perlu membakar belacan terlebih dahulu kerana belacan telah siap di masak. Pengguna juga tidak perlu menumbuk belacan terlebih dahulu sebelum digunakan seterusnya dapat menjimatkan masa penyediaan makanan. Pn Anita juga menyatakan bahawa permintaan belacan telah mendapat permintaan yang tinggi selapas inovasi ini dibuat.

Ketupat Panjang

Pembuatan ketupat panjang telah direka oleh Pn. Zaliha Bte. Bolhassan. Kegunaan ketupat panjang ini adalah seperti ketupat yang biasa namun bentuknya agak unik. Pembuatan ketupat panjang dihasilkan dengan menggunakan daun yang dipotong daripada pokok nipah. Ketupat panjang sesuai dijadikan sebagai penganti lemang. Kos pembuatan agak mudah dan menjimatkan kerana daun ini mudah untuk ditemui berbanding dengan buluh. Perbezaan produk ini dengan ketupat biasa adalah ianya dapat menghasilkan dalam kuantiti yang banyak dan menjimatkan masa untuk merebusnya daripada 3 jam menjadi 1 jam. Ketupat panjang ini terhasil daripada empat lapis daun nipah yang panjang dan kemudiannya dianyam seperti membuat bakul. Idea ketupat panjang ini terhasil daripada menjelajah dari satu kampung ke satu kampung yang lain. Selain itu, kebaikan ketupat panjang ini adalah untuk festival-festival seperti hari raya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web YIM.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...