Monday 25 June 2012

NRC Johor Disertai 1,188 pelajar




JOHOR BAHRU 24 Jun - Sebanyak 282 kumpulan yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini mencuba nasib dalam Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) peringkat Johor yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Pertandingan yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Robot Organizer, Robot Columbus dan Robot Van Gogh diadakan sempena Minggu Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor 2012 serta Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan.

Penyelaras program, Azmi Abu berkata, pertandingan tersebut selain memeriahkan karnival berkenaan, juga bertujuan memilih pemenang bagi mewakili Johor ke pertandingan peringkat kebangsaan pada September ini.

"Secara keseluruhan kita mendapat penyertaan paling ramai tahun ini dengan melibatkan 1,188 pelajar daripada sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

"Bukan sekadar kuantiti, kualiti pertandingan termasuk peserta dan perkakasan mereka juga semakin meningkat dengan ahli kumpulan berjaya mengendalikan robot mereka dengan cekap," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu bermula Rabu lalu dan akan berakhir esok menyediakan pelbagai program antaranya pameran, pertandingan reka cipta, pemeriksaan kesihatan, seminar falak dan pertandingan jejak sains.

NRC merupakan pertandingan tahunan yang diteraju oleh Sasbadi Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan sudah memasuki tahun kelapan penganjuran.

Menurut Pengarah Sasbadi Sdn. Bhd., Kevin Wan, pertandingan tersebut bertujuan membina asas yang kukuh dalam matematik, sains dan teknologi selain merangsang kreativiti pelajar menyelesaikan sesuatu masalah dan menggalakkan inovasi.

"Pertandingan yang diadakan hari ini merupakan penganjuran kali ketiga yang diadakan bersama karnival minggu sains itu. Selain memeriahkan karnival, ia juga mendokong objektif NRC iaitu mencari bakat pelapis dalam industri robotik.

"Pemenang pertandingan akan bertanding di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di negeri ini September depan sebelum terpilih untuk mewakili Malaysia ke peringkat dunia November depan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...