Tuesday 19 June 2012

Angkasawan, Kereta Formula 1 Tarikan Karnival Sains Zon Selatan Mulai Hari Ini




JOHOR BAHRU 18 Jun - Angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed dan kereta lumba Formula 1 Petronas akan menjadi tarikan pada Minggu Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor 2012 serta Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, bermula esok.

Pengarah Unit Sains Teknologi dan ICT negeri, Tunku Zahrah Tunku Osman berkata, Faiz akan berada di sini bagi menyampaikan seminar manakala kereta Formula 1 Petronas itu pula akan dipamerkan sepanjang seminggu karnival tersebut berlangsung.

Menurutnya, pelbagai program menarik diadakan sempena karnival kali keempat itu yang dibahagikan kepada tiga sesi iaitu ekspo, aktiviti dan pameran, seminar dan bengkel serta permainan dan pertandingan.

Sebanyak 155 gerai daripada pelbagai agensi mengambil bahagian pada karnival tersebut.

"Dengan program yang disediakan, kita menjangkakan kehadiran pengunjung lebih 40,000 orang terdiri daripada pelbagai peringkat usia," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyerahkan replika cek tajaan akhbar Utusan Malaysia danMingguan Malaysia di sini hari ini.

Penyerahan replika cek tajaan bernilai RM7,400 itu disampaikan kepada Eksekutif Jualan Zon Selatan Utusan Melayu (M) Bhd., Mohd. Shahrullazhar Ya'cob pada satu majlis ringkas.

Karnival yang dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman esok itu merupakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Antara program yang dirancang adalah pameran pertandingan reka cipta, pemeriksaan kesihatan, seminar falak, pertandingan jejak sains dan robotik peringkat negeri.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web di misti2012.johor.gov.my.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...