Wednesday 18 April 2012

Karnival Sains, Inovasi Zon Timur Tarik 10,000 Pengunjung



JELI 17 April - Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Maktab Rendah Sains Mara di sini yang berakhir semalam, berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan MOSTI, Dr. Marziah Mokhtar berkata, pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri dewan pameran untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti diadakan.

"Karnival ini merupakan program induk sempena Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 April lalu di ibu negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Karnival tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed kelmarin.

Menurut Marziah, karnival berkenaan merupakan inisiatif MOSTI untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sains serta menyuntik daya inovasi dan kreativiti dalam kehidupan seharian mereka.

"Para pengunjung terutama golongan pelajar didedahkan kepada pelbagai aktiviti dan pameran sains serta teknologi yang berbentuk interaktif. Antaranya pertandingan roket air dan kenderaan elektrik Amfibian, bengkel angkasawan dan ceramah keselamatan internet.

"Sebanyak 115 ruang pameran sains dan inovasi termasuk ciptaan akar umbi dipamerkan pada karnival ini. Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pusat Sains Negara," jelasnya.

Beliau memberitahu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang sains dan inovasi.

"Saya percaya setiap kanak-kanak ialah individu unik dan mereka mempunyai kebolehan yang tidak terhad. Karnival ini diharap dapat memupuk minat dan menyuntik semangat mereka untuk memilih bidang sains dan inovasi sebagai kerjaya mereka kelak," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar yang ditemui, Faisal Mazlan, 14, berkata, dia berasa teruja dan seronok kerana Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur dapat diadakan di sekolahnya buat pertama kali.

"Saya dapat menyertai banyak aktiviti menarik dan bertemu dengan Angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed pada karnival ini. Saya hendak belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi seorang yang berjaya seperti beliau pada suatu hari nanti," katanya.

  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...