Kuala Lumpur, 9 Ogos – Masyarakat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan Okultasi Planet Musytari pada 12 Ogos ini bermula dari jam 2.20 pagi hingga 3.20 pagi. Kali terakhir fenomena ini berlaku adalah pada 23 Februari 2009 yang lalu. Apa yang akan berlaku adalah, kita akan dapat melihat planet Musytari dilindungi oleh Bulan selama lebih kurang satu jam (bergantung kepada lokasi). Untuk makluman, Bulan pada malam tersebut berada di dalam fasa Sabit Tua (Waning Crescent). Fenomena ini boleh disaksikan di seluruh Malaysia, namun setiap lokasi akan berlaku pada waktu yang sedikit berbeza. Masyarakat di Sabah dan Sarawak bertuah kerana berpeluang untuk menyaksikan keseluruhan proses fenomena. Di Semenanjung pula, kebanyakan tempat hanya dapat menyaksikan proses akhir fenomena ini sahaja. Orang ramai boleh melihat fenomena ini hanya dengan menggunakan mata kasar tanpa memerlukan sebarang peralatan khas.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai fenomena ini, sila layari Portal Pendidikan Sains Angkasawww.astronomi.angkasa.gov.my atau hubungi Planetarium Negara di talian 03-2273 4303 / 4301.
No comments:
Post a Comment