1. Apakah dimaksudkan dengan Tahun
Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012?
Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional merupakan
program kesinambungan daripada Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia atau lebih
dikenali sebagai Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) dan Tahun Penggalakan Sains
dan Matematik 2011. Dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011, Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan tahun 2012 sebagai Tahun
Gerakan Inovasi Nasional. Ini disusuli dengan keputusan mesyuarat Menteri Besar
dan Ketua Menteri pada 11 Oktober 2011 yang bersetuju supaya tahun 2012
diisytiharkan sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional.
Tujuan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012
adalah untuk menyemarakkan serta membudayakan sains dan inovasi di kalangan
rakyat Malaysia ke arah penjanaan ilmu, penghasilan kekayaan, dan kesejahteraan
rakyat.
2. Siapakan kumpulan sasaran bagi Tahun Sains dan
Gerakan Inovasi Nasional 2012?
Kumpulan sasaran bagi SGI2012 merupakan seluruh
masyarakat Malaysia. Seperti mana dalam ucapan Bajet 2012 oleh YAB PM, inovasi
perlu diterap dan di amalkan oleh semua termasuk sektor awam, sektor swasta,
NGO, ibu bapa, IPT, pelajar sekolah dan kanak-kanak prasekolah di kawasan dalam
dan luar Bandar.
3. Apakah program-program dianjurkan di bawah SGI2012?
Pelbagai program ke arah
menyemarakkan pembudayaan sains dan inovasi akan diadakan sepanjang tahun 2012.
Sebanyak 397 program dan aktiviti berasaskan kreativiti dan inovasi telah dan
akan dilaksanakan di seluruh Malaysia untuk mendekati rakyat
daripada segenap lapisan bagi menghayati dan membudayakan sains dan inovasi
melalui suntikan pemikiran, pengetahuan dan aplikasi.
Antara program induk SGI2012 adalah siri Jelajah
Karnival Sains dan Inovasi ke seluruh negara melalui penganjurannya mengikut
zon. Karnival diadakan
secara bersiri di 6 zon seperti disebut tadi iaitu, Zon Utara yang melibatkan
negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak; Zon Timur (Kelantan, Terengganu
dan Pahang); Zon Tengah (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya); Zon Selatan (Johor); Zon Sabah dan Zon
Sarawak.
4. Bagaimanakah penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak
dalam penganjuran Karnival Sains dan Inovasi Zon Sarawak?
SGI2012 adalah program nasional, adalah wajar
pelaksanaan program-program di bawahnya diintegrasikan dengan pelbagai
kerajsama khususnya Jabatan Ketua Menteri Sarawak dan Pejabat Residen
Kuching. Jabatan Ketua Menteri Sarawak
telah menggabungkan program Karnival Sains dan Inovasi untuk dianjurkan
bersempena Regatta Sarawak 2012, ini adalah satu kerjasama strategic di mana
program Karnival Sains dan Inovasi dapat memberi nilai tambah dari segi
meningkat kesedaran sains dan memupuk pembudayaan inovasi semasa temasya
Regatta Sarawak yang bakal dihadiri seramai 100, 000 orang.
5. Nyatakan aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan
semasa program Karnival Sains dan Inovasi Zon Sarawak?
Karnival adalah platform penyaluran dan
perkongsian ilmu sains, teknologi dan inovasi ini menyediakan pelbagai aktiviti
menarik seperti Angkasawan Space Camp, Pertandingan Roket Air, teater simulasi
5D, pameran bahan sains interaktif dan
aktiviti sains, ceramah interaktif, bengkel inovatif dan Jejak Inovasi.
Di antara aktiviti-aktiviti yang menerima semasa
Karnival ialah pertandingan roket air, pertandingan reka bentuk, demonstrasi
sains, teater tayangan simulasi 5D, pertandingan sains dan matematik serta
robotik, pameran produk inovasi penyelidik dan golongan akar umbi serta ceramah
dan bengkel kreativiti. Pameran Sains dan Inovasi akan mempamerkan hasil sains
dan inovasi termasuk ciptaan akar umbi akan dibuka kepada awam bermula jam 9.00
pagi sehingga 9.00 malam.
Rakan-rakan strategik yang akan menjayakan program
ini adalah Kerajaan Negeri Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti
Teknologi MARA Samarahan, Kolej Komuniti Kuching, Yayasan Inovasi Malaysia,
Yayasan Angkasawan Malaysia, Pusat Sains Negara, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak,
Jabatan Meteorologi Cawangan Sarawak dan Technology Park Malaysia.
Program Jejak Inovasi juga akan dijalankan iaitu
satu inisiatif bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Yayasan
Inovasi Malaysia (YIM) bertujuan untuk mengenal pasti produk-produk inovasi
hasil ciptaan masyarakat akar umbi. Pereka cipta di kalangan akar umbi ini
secara tidak langsung akan diberi pengiktirafan ke atas usaha dan idea mereka
yang berjaya membangunkan produk tanpa bantuan teknologi canggih tetapi
berdasarkan pengetahuan dan kemahiran individu itu sendiri.
6. Apakah impak yang dijangka daripada pelaksanaan
program-program di bawah SGI2012?
Impak boleh dilihat dari segi peningkatan bilangan
pengunjung ke program-program yang dijalankan serta jumlah penyertaan di bawah
aktiviti-aktiviti. Ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran dan minat mengenai
sains dan inovasi semakin meningkat. Maklum balas daripada pengunjung juga
adalah penting memandangkan penekanan terhadap sains dan inovasi akan
diteruskan pada masa hadapan.