Sunday, 20 May 2012

Karnival Sains & Inovasi Zon Sabah




PENAMPANG, Sabah (19 Mei 2012): Karnival Sains dan Inovasi, program utama Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional (SGI2012), bermula di KDCA, Penampang, hari ini.

Sekitar 8,000 orang dari segenap lapisan masyarakat telah membanjiri Hongkod Koisaan, KDCA untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang Karnival Sains dan Inovasi Zon Sabah yang dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin.

Orang awam termasuk pelajar dan belia, telah didedahkan kepada aktiviti yang berbentuk interaktif dan pameran sains dan teknologi serta mendorong mereka untuk memupuk budaya sains dan inovasi untuk kehidupan seharian.

Karnival ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sains dan inovasi dalam kehidupan seharian kita. Kesan yang dimaksudkan termasuk mempunyai sebuah negara yang mahir dalam bidang sains dan inovasi dan menggalakkan lebih ramai belia memilih sains sebagai kerjaya.

Sebanyak 25 aktiviti telah dijalankan sempena karnival ini seperti Pertandingan Roket Air dan Pertandingan Treasure Hunt Geocaching, bengkel seperti Angkasawan Spacecamp dan bengkel Family Innovation Movement (FIM), ceramah mengenai keselamatan Internet dan demonstrasi membuat ukiran kaca dan spin casting serta Simulator 5D Innovatif. Terdapat juga sebanyak 84 booth pameran yang menampilkan pelbagai produk dan aktiviti interaktif yang berunsur sains dan inovasi termasuk ciptaan akar umbi. Pempamer terdiri daripada pelbagai Kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Jabatan Kesihatan Sabah, Kementerian Dalam Negeri (KDM), institusi R&D seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), institut pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Yayasan Sabah (KYS), Maktab Rendah Sains MARA Kota Kinabalu dan agensi-agensi MOSTI.

Selepas karnival di Sabah, Karnival Sains dan Inovasi akan diadakan di empat zon lain. Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan di PERSADA Johor 19-25 Jun 2012, Zon Utara di UiTM Merbok Kedah pada 30 Jun dan 1 Julai 2012, Zon Sarawak pada 20 dan 21 September dan pada 20 dan 21 Oktober di Negeri Sembilan untuk Zon Tengah.

Pada pelancaran itu juga, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin telah merasmikan Flag-off Jejak Inovasi, program oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk mengesan inovasi akar umbi untuk pembangunan lestari yang akhirnya bertujuan untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar.


Jejak Inovasi kali ini akan bergerak dari Kudat  ke Matunggong seterusnya Kota Marudu dan Pitas. Jejak Inovasi ini akan mengambil masa selama 4 hari bermula dari 19 hingga 22 Mei 2012.


Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal SGI2012.










No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...