Wednesday 18 April 2012

Karnival Sains, Inovasi Zon Timur Tarik 10,000 Pengunjung



JELI 17 April - Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Maktab Rendah Sains Mara di sini yang berakhir semalam, berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan MOSTI, Dr. Marziah Mokhtar berkata, pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri dewan pameran untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti diadakan.

"Karnival ini merupakan program induk sempena Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 April lalu di ibu negara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Karnival tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed kelmarin.

Menurut Marziah, karnival berkenaan merupakan inisiatif MOSTI untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sains serta menyuntik daya inovasi dan kreativiti dalam kehidupan seharian mereka.

"Para pengunjung terutama golongan pelajar didedahkan kepada pelbagai aktiviti dan pameran sains serta teknologi yang berbentuk interaktif. Antaranya pertandingan roket air dan kenderaan elektrik Amfibian, bengkel angkasawan dan ceramah keselamatan internet.

"Sebanyak 115 ruang pameran sains dan inovasi termasuk ciptaan akar umbi dipamerkan pada karnival ini. Antara agensi yang mengambil bahagian ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Pusat Sains Negara," jelasnya.

Beliau memberitahu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang sains dan inovasi.

"Saya percaya setiap kanak-kanak ialah individu unik dan mereka mempunyai kebolehan yang tidak terhad. Karnival ini diharap dapat memupuk minat dan menyuntik semangat mereka untuk memilih bidang sains dan inovasi sebagai kerjaya mereka kelak," katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar yang ditemui, Faisal Mazlan, 14, berkata, dia berasa teruja dan seronok kerana Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur dapat diadakan di sekolahnya buat pertama kali.

"Saya dapat menyertai banyak aktiviti menarik dan bertemu dengan Angkasawan kedua negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed pada karnival ini. Saya hendak belajar bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi seorang yang berjaya seperti beliau pada suatu hari nanti," katanya.

  

Sunday 15 April 2012

Karnival Sains & Inovasi Zon Timur


JELI, Kelantan (14 April 2012) : Sambutan Karnival Sains dan Inovasi, program induk Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional (SGI2012), bermula meriah di Jeli, Kelantan hari ini dengan Majlis Perasmian oleh YB. Dato' Sri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Jeli di hadapan hampir 5,000 pengunjung. Para pengunjung yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat membanjiri Dewan Bitara, Maktab Rendah Sains MARA dan Dewan Pameran untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang Karnival Sains dan Inovasi Zon Timur yang diadakan selama dua hari bermula 14 April sehinggan 15 April 2012.  
Turut hadir di Majlis Perasmian Karnival Sains dan Inovasi ialah YBhg. Dato’ Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mewakili YB. Menteri MOSTI, Wakil-wakil Kerajaan Negeri Pahang dan Terengganu, pemimpin-pemimpin masyarakat, penduduk-penduduk kampung, murid-murid sekolah dan masyarakat dari serata Zon Timur.  
Karnival ini merupakan antara inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sains dan inovasi dalam kehidupan seharian serta menyuntik sikap inovasi dan kreativiti dalam kehidupan seharian. Melalui Karnival ini diharapkan lebih ramai belia akan memilih sains sebagai kerjaya seterusnya mewujudkan negara yang mahir dalam bidang sains dan inovasi. Para pengunjung terutamanya pelajar dan belia, telah didedahkan kepada aktiviti yang berbentuk interaktif dan pameran sains dan teknologi.  
Di antara 20 aktiviti yang diadakan sempena karnival ini ialah Pertandingan Roket Air, Pertandingan Kenderaan Elektrik Amfibian, bengkel Angkasawan (Spacecamp), ceramah keselamatan Internet dan Musical Science Show. Disamping itu, sebanyak 115 booth pameran bercirikan sains dan inovasi termasuk ciptaan akar umbi telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.  
Antara rakan-rakan strategik yang menjayakan program ini adalah seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Dalam Negeri, institusi R&D seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia,  Universiti Malaysia Kelantan dan agensi-agensi MOSTI seperti Pusat Sains Negara, Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan, CyberSecurity Malaysia dan Majlis Rekabentuk Malaysia telah terlibat dalam pameran sains dan teknologi.  
YB. Dato' Sri Mustapa Mohamed turut melakukan upacara Flag-Off Jejak Inovasi iaitu program Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meninjau inovasi akar umbi untuk dibangunkan seterusnya membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat akar umbi. Jejak Inovasi di Kelantan telah bermula pada 13 April dari Tanah Merah ke Kota Bharu, Ketereh, Machang dan Jeli selama 3 hari.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal SGI2012.












Tuesday 10 April 2012

Tahun Sains Dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 Dilancar




KUALA LUMPUR 9 April – Kerajaan hari ini melancarkan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012), satu inisiatif penting bertujuan menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara penekanan utama SGI2012 adalah untuk meningkatkan transformasi ilmu dan pengetahuan kepada produk, proses, perkhidmatan atau penyelesaian bagi meningkatkan nilai tambah dalam setiap sektor serta memaksimumkan faedah sosioekonomi kepada seluruh rakyat.

Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bekerja keras dan komited menjana pelbagai strategi, inisiatif dan program bertujuan memberi manfaat kepada setiap rakyat agar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera.

“Pengisytiharan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional bertemakan “Sains dan Inovasi Pemacu Transformasi” akan melonjakkan lagi agenda transformasi dan inovasi negara bukan sahaja dalam kalangan masyarakat bandar tetapi di peringkat akar umbi.

“Dengan menjana modal insan yang berkompetensi dan mampu menguasai bidang sains dan teknologi, Malaysia berupaya menjadi sebuah negara maju berlandaskan pembangunan kedua-dua bidang tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran SGI2012 di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Melalui SGI2012, pelbagai program akan dijalankan di bawah kelolaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sepanjang tahun ini, antaranya Karnival Sains dan Teknologi di enam zon di seluruh Malaysia yang merangkumi acara seperti bengkel, ceramah dan pertandingan sains.

Muhyiddin berkata, dalam konteks itu, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha termasuk menubuhkan sebuah Pasukan Gerak Khas Inovasi Inklusif yang diterajui MOSTI.

Pasukan itu akan memperincikan kaedah pelaksanaan inovasi inklusif secara sistematik dan berterusan bagi manfaat masyarakat akar umbi.

Katanya, kerajaan juga sedang menerajui penggubalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi serta Akta Sains dan Peta Pandu Modal Insan Sains dan Teknologi yang merangkumi strategi mengenai kaedah terbaik meningkatkan daya saing produk keluaran tempatan dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi global.

“Saya percaya dokumen-dokumen ini akan menjadi ‘blue print’ kepada pengukuhan ekosistem dan persekitaran sains dan teknologi yang lebih kondusif serta membolehkan kerajaan terus menangani secara berkesan isu-isu kritikal,” katanya.


Majlis Perasmian Tahun Sains & Gerakan Inovasi Nasional 2012


SERI KEMBANGAN, 9 April 2012 (Isnin): Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di satu majlis yang telah diadakan pada 9 April 2012 di  Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bertemakan “Sains dan Inovasi Pemacu Transformasi Negara”,  SGI2012 bertujuan untuk menyemarak dan membudayakan sains dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan belia, pelajar dan wanita. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi mandat untuk menerajui dan seterusnya menyelaras program-program bersama pelbagai Kementerian, Kerajaan Negeri dan Rakan-rakan Strategik dalam menjayakan SGI2012.

Program induk SGI2012, Karnival Sains dan Inovasi,  akan diadakan di seluruh Malaysia di enam zon iaitu Zon Timur, Zon Sabah, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Sarawak dan Zon Tengah. Antara aktiviti yang akan dianjurkan termasuk bengkel, ceramah dan pertandingan  seperti Pertandingan Roket Air SGI2012, Pertandingan Kereta Elektrik Amfibian, Bengkel Angkasawan Space Camp, Ceramah Kesedaran Keselamatan Internet dan Musical Science Show.

MOSTI akan terus bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan rakan strategik yang lain bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat akar umbi melalui program touch-points Jejak Inovasi dan TAPMOSTI@Community.

World Innovation Forum Kuala Lumpur akan diadakan bersekali dengan National Innovation Conference and Exhibition (NICE) pada bulan November 2012. Forum ini merupakan platform bagi sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan dari dalam dan luar negara untuk bersama berkongsi pengalaman serta membincangkan strategi kreativiti dan inovasi. Manakala NICE bertujuan mengiktiraf usaha-usaha inovasi dan kreativiti rakyat Malaysia dalam bentuk anugerah termasuk Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Inovasi Perdana Menteri dan Anugerah Saintis Muda Malaysia.

YAB Timbalan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam memupuk dan membentuk sebuah masyarakat yang membudayakan sains, teknologi dan inovasi. SGI2012 adalah inisiatif penting untuk merealisasikan agenda transformasi negara dan kesejahteraan Rakyat ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020. 

Menurut beliau, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) Kerajaan telah meningkatkan peruntukan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada RM2.2 bilion daripada RM1.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-8, iaitu peningkatan sebanyak 27.3%. Sehingga kini, sebanyak 310 produk daripada 1,862 projek R&D di bawah geran MOSTI telah berjaya dipasarkan di dalam dan luar negara.

Kerajaan juga telah memberi penekanan kepada pembangunan modal insan dalam bidang penyelidikan bagi meningkatkan keupayaan R&D negara. Melalui pelbagai skim biasiswa yang ditawarkan oleh MOSTI seperti  National Science Fellowship, Skim Biasiswa Penyelidikan Pasca Siswazah Universiti dan Skim Biasiswa Penyelidikan Gunaan Pasca Siswazah bagi Pegawai Dalam Perkhidmatan, seramai 1,938 pelajar  telah ditaja oleh Kerajaan dalam tempoh 2005 hingga 2010 dan melibatkan peruntukan sebanyak RM182.5 juta.

Dengan modal insan yang kompeten dan mampu menguasai bidang sains dan teknologi, Malaysia berupaya untuk meningkatkan daya saing di peringkat global. YAB Timbalan Perdana Menteri berpandangan bahawa golongan belia merupakan kumpulan yang dinamik, bertenaga dan kreatif dan ini adalah ramuan penting dalam bidang pembangunan sains, teknologi dan inovasi. Beliau seterusnya menyarankan agar satu sistem media sosial diwujud di bawah SGI2012 untuk menyebarkan budaya sains dan inovasi kepada 17 juta belia dan beliawanis Malaysia.

Tambah beliau, Kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi untuk memastikan dasar dan pelan strategi STI dilaksanakan dengan  mantap seperti Majlis Sains dan Penyelidikan Negara, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan Jawatankuasa Pelaburan Dana Awam. National Institutes of Biotechnology Malaysia(NIBM) juga diwujudkan untuk menggalakkan perkembangan pusat-pusat penyelidikan dan inovasi bertaraf antarabangsa.
YAB Timbalan Perdana Menteri berharap semua pihak termasuk Kementerian dan agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan dan sektor swasta dapat menyokong sepenuhnya program SGI2012. Beliau juga menyeru agar  seluruh rakyat Malaysia menyemarakkan budaya sains dan inovasi dan menjadikannya sebagai amalan hidup seharian.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal SGI2012.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...