Saturday 11 February 2012

Majlis Pelancaran Logo Dan Lagu Tahun Sains Dan Gerakan Inovasi Nasional 2012


Majlis Pelancaran Logo dan Lagu Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 11 Februari 2012 di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara. Ini menandakan bermulanya aktiviti-aktiviti SGI2012 yang akan berlangsung di seluruh negara disepanjang tahun 2012. Pelancaran SGI2012 yang memperkenalkan logo dan lagunya, merupakan program kesinambungan daripada program-program yang telah diterajui oleh MOSTI pada tahun 2010 dan 2011 iaitu Malaysia Inovatif 2010 dan Program Penggalakan Sains dan Matematik 2011. Tahun 2012 membawa pengertian yang besar kepada MOSTI dalam mendokong usaha Kerajaan menggerakkan rakyat Malaysia ke arah pembudayaan sains dan inovasi. Pengisytiharan tahun 2012  sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 oleh Kerajaan adalah mencerminkan bahawa Kerajaan komited dan memberi perhatian serius untuk melaksanakan transformasi ekonomi menerusi sains, teknologi dan inovasi.

Logo dan Tahun Sains Gerakan Inovai Nasional 2012 menggunakan bendera Malaysia yang sedang berkibar megah melambangkan Malaysia sedang pesat membangun. Bentuk bola atau glob ditengah-tengah bendera melambangkan kedudukan dan peranan penting Malaysia bersaing merentasi sempadan global. Di bawah kesepaduan 1Malaysia, Sains dan Inovasi merupakan asas kukuh (bedrock) pembangunan yang akan memacu agenda transformasi ke arah pertumbuhan ekonomi dan melonjak kedudukan Malaysia ke status sebuah negara maju berpendapatan tinggi, terangkum dan lestari.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi mandat untuk menerajui dan seterusnya menyelaras program-program bersama dengan Kementerian lain dan rakan-rakan strategik program termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Program ini mensasarkan penglibatan setiap peringkat masyarakat khususnya golongan belia dan pelajar.

Sebanyak 377 program daripada pelbagai Rakan Strategik telah diatur dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2012 di seluruh negara dengan menampilkan empat segmen iaitu Segmen Sains dan Matematik; Segmen Kesedaran dan Pembudayaan Inovasi; Segmen Inovasi, Pengkomersilan dan Pameran; dan Segmen Inovasi Perkhidmatan dan Pengurusan.

Kuala Lumpur World Innovation Forum (KLWIF2012) akan turut dianjurkan pada bulan November 2012 bagi memberi peluang kepada sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara untuk bersama berkongsi pengalaman serta berbincang strategi  kreativiti dan inovasi.

Jejak Inovasi juga akan dilaksanakan di seluruh negara dengan tujuan untuk menjejak dan menonjolkan pelbagai idea, kreativiti dan inovasi hasil masyarakat akar umbi serta merangsang semangat masyarakat mengenai kepentingan budaya inovasi dalam kehidupan harian di samping memberi pengiktirafan ke atas sumbangan kreativiti dan inovasi yang dihasilkan.

Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 akan dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ini akan disusuli dengan penganjuran Karnival Sains dan Inovasi di enam zon iaitu Zon Timur, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Sabah, Zon Sarawak dan Zon Tengah.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal SGI2012.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...