Sunday 1 January 2012

Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012)


Kerajaan telah mengisytiharkan tahun 2012 sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) bertujuan menggerakkan agenda pembangunan negara menerusi pembudayaan sains dan inovasi di kalangan rakyat Malaysia.
Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 merupakan kesinambungan daripada dua inisiatif Kerajaan yang telah dilaksanakan pada tahun 2010 dan 2011 iaitu Tahun Kreativiti dan Inovasi Malaysia (Malaysia Inovatif 2010) dan Tahun Penggalakan Sains dan Matematik 2011. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membudayakan dan mengamalkan inovasi di setiap lapisan masyarakat, semua pihak termasuk sektor awam, swasta, badan bukan Kerajaan, golongan akar umbi, komuniti dan individu perlu terlibat untuk mencetuskan inovasi kerana inovasi merentasi pelbagai bidang dan mempunyai impak ke atas sosio-ekonomi negara.
Sains dan Inovasi Pemacu Transformasi telah dipilih sebagai tema tahun ini berlandaskan keyakinan bahawa sains dan inovasi akan membawa kepada penjanaan ilmu, penghasilan kekayaan dan kesejahteraan rakyat. Sains dan inovasi adalah asas penting yang akan menggerakkan transformasi negara dan melonjak Malaysia kepada sebuah negara inovasi menjelang 2020.
Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai Kementerian, Jabatan, Kerajaan Negeri, Badan Bukan Kerajaan, pihak swasta dan individu. Sebanyak 397 program dan aktiviti berteraskan sains dan inovasi telah disusun sepanjang tahun 2012 oleh pelbagai pihak untuk manfaat rakyat.
Di antara program induk yang disediakan ialah Karnival Sains dan Inovasi di enam zon di seluruh negara. Selain dari itu, Program Jejak Inovasi yang diterajui oleh Yayasan Inovasi Malaysia bersama MOSTI juga akan diadakan di seluruh negara. Pada akhir tahun, satu forum bertaraf antarabangsa iaitu Kuala Lumpur World Innovation Forum akan diadakan di Kuala Lumpur. Platform antarabangsa ini akan melibatkan pakar-pakar inovasi dunia berkumpul untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan strategi pembangunan inovasi dengan Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...